PENGHINAAN PIHAK PAS..!!!

Monday, 16 May 2011

BN boleh rampas empat negeri pembangkang


PAPAR 15 Mei - Kerajaan Barisan Nasional (BN) diyakini mampu mengekalkan kemenangan besar termasuk merampas kembali empat negeri yang dikuasai oleh pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan proses transformasi dan reformasi telah membuahkan hasil dan ia diterima dengan baik oleh rakyat.

Menurut beliau, sokongan semula rakyat diterjemahkan melalui kejayaan BN dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini termasuk di negeri yang dikuasai pembangkang dan terbaru di Sarawak.
"BN dan UMNO sudah bersedia sepenuhnya terpulang kepada Perdana Menteri untuk tiup wisel. Apa yang penting semua pihak dalam BN perlu bekerja keras tingkatkan sokongan rakyat," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan pelajar termiskin luar bandar dan sumbangan sekolah sempena Pesta Kaamatan di Sekolah Kebangsaan Our Lady Of Fatima, Kampung Kelatuan di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai tindakan sesetengah UMNO Bahagian yang menuntut supaya dikembalikan beberapa kerusi yang sebelum ini ditandingi mereka, Mohd. Shafie berkata, perkara pokok bukannya soal pengagihan kerusi tetapi adalah kemenangan kerusi.

Jelas beliau, ia adalah selari dengan ingatan Perdana Menteri bahawa ciri-ciri utama pemilihan calon BN ialah yang boleh memberikan kemenangan kepada parti tanpa mengira kedudukan dan jawatan yang tidak tertakluk kepada parti komponen tertentu sahaja.
"Jangan kita sibuk untuk mengambil kerusi tetapi tidak menang, apa gunanya? Ini kerana tujuan utama bertanding ialah untuk menang bukannya untuk kalah," katanya.
Ditanya mengenai desas-desus mengatakan beliau mempunyai hubungan dingin dengan Badan Perhubungan UMNO Sabah, Mohd. Shafie menjelaskan bahawa tidak timbul sebarang masalah, malah menyatakan kemenangannya sebagai Naib Presiden UMNO banyak dibantu oleh mereka yang memberikan sokongan padu kepadanya.

"Ia bukan masalah tetapi yang paling penting ialah saya dan semua pihak bekerja dan berkhidmat untuk rakyat seperti yang diarahkan oleh Perdana Menteri, tetapi ada sesetengah yang mungkin bimbang dan ragu dengan saya," katanya.
sumber:utusan online

No comments:

Post a Comment