Friday, 27 May 2011
Mesyuarat SUPP dijangka bincang wujudkan timbalan presiden Dayak
KUCHING: Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) SUPP esok dijangka akan membincangkan isu mewujudkan jawatan timbalan presiden parti bagi kuota Dayak.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Setiausaha Agung Dato Sri Wong Soon Koh dalam satu pertemuan tidak formal dengan pemberita di pejabatnya semalam.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan alasan diberikan ialah biar presiden parti (Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan) yang membuat sebarang kenyataan berhubung perkara itu nanti (selepas mesyuarat CWC).
“Saya percaya perkara ini akan dibangkit dan dibincangkan pada mesyuarat CWC Jumaat ini (esok). Itu sahaja yang boleh saya kata-kan setakat ini,” katanya.
Wong berkata demikian apabila diminta mengulas cadangan ahli veteran SUPP Kota Sentosa Datuk Dr Anthony Nait yang mahu jawatan timbalan presiden parti untuk kuota Dayak diwujudkan.
Isnin lepas Nait dipetik sebagai berkata, kewujudan jawatan itu bukan sahaja membolehkan ahli Dayak dalam parti itu boleh bersuara tetapi sebagai mengiktiraf sumbangan komuniti itu kepada parti selama ini.
Nait menambah, beliau mengemukakan cadangan itu rentetan kenyataan Wong baru-baru ini yang mahu pucuk kepimpinan parti termasuk beliau sendiri melepaskan jawatan mereka ekoran kekalahan teruk parti itu dalam pilihan raya negeri lalu.
Pada pilihan raya 16 April lalu, SUPP hanya menang di enam daripada 19 kerusi dipertandingkan dengan empat daripada kerusi itu kerusi majoriti Dayak (Opar, Bengoh, Simanggang dan Engkilili), dua lagi ialah Senadin dan Bawang Assan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Serian Datuk Richard Riot Jaem berkata, pelantikan bukan Cina menyandang jawatan penting dalam parti membuktikan parti itu benar-benar parti pelbagai bangsa.
Beliau menambah, sudah tiba masanya untuk memberi pengiktirafan lebih baik kepada ahli Dayak setelah sekian lama berjuang untuk kepentingan parti itu.
sumber:sarawakpage
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment