PENGHARGAAN: Mahmood (kiri) menerima cenderahati penghargaan dari Pengarah Jabatan Imigresen Sarawak Datu Robert Lian pada majlis makan malam KDN di MMRS malam kelmarin
MIRI: Jentera Barisan Nasional (BN) di negeri ini digesa agar menggandakan usaha sebagai persediaan berdepan cabaran dan rintangan baru dari parti lawan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 akan datang.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Mahmood Adam berkata, BN akan terus mempersiapkan jenteranya berdepan pilihan raya selain memastikan kempen pilihan raya berjalan dengan lancar.
“Kita perlu terus gandakan usaha kita. Kita sentiasa bersedia berdepan setiap pilihan raya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada majlis makan malam penghargaan untuk petugas-petugas PRU di bahagian Miri yang berkhidmat semasa pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke 10 pada 6 hingga 16 April lalu.
Majlis telah diadakan di Miri Marriott Resort and Spa (MMRS) yang telah dihadiri oleh wakil-wakil jabatan kerajaan di sini, diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan dan nyanyian.
Mahmood turut menyampaikan rasa terima kasih Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein terhadap semangat dan kerja keras petugas-petugas PRU di negeri ini.
Hishammuddin katanya berpuas hati dengan kelancaran proses pilihan raya DUN Sarawak hasil kerjasama erat jentera BN negeri dan pusat.
“Kita berterima kasih dengan petugas di Sarawak di atas kerjasama dan maklumat yang diberikan kepada petugas di Semenanjung Malaysia tentang keperluan dan perkara yang perlu dibuat dalam pilihan raya lalu.
“Segala tenaga, masa dan pengorbanan anda amat dihargai oleh KDN,” jelasnya.
Mahmood berkata, majlis serupa telah diadakan di Kuching pada dua minggu lalu dan dirancang dianjurkan untuk petugas-petugas PRU di Sibu dan Sarikei dalam tempoh terdekat ini.
Mengimbas semula, dalam pilihan raya DUN Sarawak ke 10 April lalu, BN kekal memerintah Sarawak dengan memperoleh dua pertiga majoriti dengan memenangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.
Parti Tindakan Demokratik (DAP) memenangi 12 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi 3 kerusi sementara bebas mendapat 1 kerusi.
Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan Parti Cinta Malaysia (PCM) tidak memenangi sebarang kerusi.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya baru-baru ini memberitahu, PRU ke 13, yang disebut-sebut akan diadakan waktu terdekat, dijangka paling sengit bakal dihadapi BN kerana parti-parti pembangkang sangat agresif.
sumber:borneo post
No comments:
Post a Comment